SEJARAH PONTIAN
PONTIAN ialah salah satu daerah di Johor, Malaysia yang terletak 62 kilometer dari Pusat Bandaraya Johor Bahru, ibu negeri Johor. Ibu daerah Pontian ialah Pontian Kechil. Kebanyakan kawasan di sini adalah terdiri daripada paya bakau. Menangkap ikan masih merupakan aktiviti utama penduduk di daerah ini.
Pontian diduduki oleh kaum Melayu yang berketurunan suku Melayu, Bugis dan Jawa. Melayu dan Bugis di kawasan pesisiran manakala Jawa di kawasan pedalaman. Kebanyakan Cina di Pontian adalah berketurunanTeochew.
Perkataan Pontian dikatakan berasal dari kata ‘Perhentian’. Perhentian yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar iaitu tempat berteduh dari gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau ke Melaka. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para Lanun untuk menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya, sementara Pontian Kecil menjadi bandar utama bagi daerah Pontian.
SEJARAH MUKIM RIMBA TERJUN
Menurut sejarah, pada tahun 1845, suatu rusuhan besar telah tercetus di Daerah Kesang di Muar. Rusuhan ini tercetus akibat tindakan Sutan Abu Bakar yang cuba mengambil alih pemerintahan jajahan luar daripada Raja Ali. Disebabkan keadaan hura-hara pada masa itu, ramai penduduk kampung telah lari untuk menyelamatkan diri.
Antara pembesar ketika itu ialah Dalik yang berketurunan Bugis. Setelah berpakat dengan anak buahnya , lantas meninggalkan Kesang untuk mencari penempatan baru yang lebih selamat. Mereka telah menyusur pantai Kesang sehingga sampai ke Benut dan tinggal sementara di situ. Kemudian mereka menyambung perjalanan mereka hinggalah ke kawasan Rambah.
Anak-anak Dalik iaitu Md Taha dan Sham telah ditugaskan untuk meneroka kawasan baru di sekitar Rambah untuk dijadikan penempatan. Akhirnya, pada tahun 1861, mereka telah membina sebuah penempatan baru yang diberi nama Kampung Sri Pinang kerana wujudnya banyak pokok pinang di persisiran Pantai Rambah.
Bagaimanapun, nama Sri Pinang itu seolah-olah tidak sesuai dengan penempatan yang mereka bina itu kerana sering berlaku kejadian yang aneh iaitu ribut dan penduduk kampung itu melihat tumbuhan yang ada di persisiran pantai, semuanya seolah-oleh ‘terjun’ ke dalam laut. Oleh sebab kejadian aneh itu, mereka telah sepakat untuk menggantikan nama Sri Pinang kepada Rimba Terjun sehinggalah sekarang.